Pages
What they say
List Carian Download
Sunday 13 January 2013
70 Model Telefon Pintar Pilihan Belia Untuk Rebat RM200
Gambar Hiasan |
70 pilihan model telefon pintar PKB untuk belia 21~30 tahun
Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) mengemukakan 70 model telefon pintar yang boleh dipilih belia bagi mendapat rebat RM200 Pakej Telekomunikasi Belia (PKB).
Menterinya Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, model telefon berkenaan akan dipapar menerusi laman sesawang Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan belia membuat perbandingan harga di pasaran.
"SKMM akan terus memantau pendaftaran itu menerusi Internet dan kini 187,000 mendaftar untuk mendapatkan rebat RM200 Pakej Komunikasi Belia bagi pembelian telefon pintar," katanya di Kuala Penyu.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Himpunan Kasih Sayang, Klik Dengan Bijak dan Nilai-nilai Murni peringkat negeri Sabah di Menumbok, dekat sini hari ini.
Beliau berkata, kementerian juga akan menyenaraikan 1,000 outlet dan penjual alat telekomunikasi yang menyertai PKB di seluruh negara.
Di bawah program itu yang diumum Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Belanjawan 2013, belia berusia antara 21 dan 30 tahun layak menerima rebat RM200 bagi pembelian telefon pintar.
Program Himpunan Kasih Sayang yang berlangsung selama dua hari sejak semalam itu dianjur SKMM Sabah dan Labuan dengan kerjasama beberapa agensi di bawah KPKK.
Program yang dimeriahkan pelbagai lapisan masyarakat itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Kementerian Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Klias Datuk Azizah Mohd Dun, Pemangku Pengerusi Umno Beaufort Isnin Aliasneh dan Adun Kuala Penyu John Teo Mau Sing.
Penyedia perkhidmatan yang terlibat ialah Maxis Berhad, Celcom Axiata Berhad, DiGi Telecommunications Sdn Bhd, U Mobile, YTL Communications, Tune Talk dan Clixster.