Pages
What they say
List Carian Download
Tuesday 8 January 2013
Ribut Sonamu Tidak Seteruk Ribut Katrina !
Kuala Terengganu: Orang ramai diminta tidak panik dengan amaran fenomena ribut tropika Sonamu yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) yang dikesan berlaku jam 2 petang kelmarin sejauh 756 kilometer ke timur laut Dungun berikutan ia dilaporkan pegun dan lemah sebaik sampai ke Pantai Timur.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, Tajul Ariffin Muhamad berkata, orang ramai terutama penduduk di pinggir pantai tidak perlu panik dengan amaran Sonamu yang dikeluarkan JMM kerana ia tidak seteruk yang didakwa kononnya seperti fenomena Taufan Katrina atau Tsunami yang pernah berlaku.
“Sehingga kini MKN tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi kepada mana-mana pihak supaya penduduk berpindah kerana mengikut JMM, fenomena Sonamu berlaku di tengah laut dan tempias yang sampai ke perairan negeri ini berskala kecil serta lemah.
“Maklumat terbaru diterima MKN daripada JMM, tempias Sonamu akan beralih ke kawasan bawah Pantai Timur serta kebarangkalian untuk berlaku ribut kuat dan ombak besar yang dihebohkan segelintir pihak melalui Internet dan sebagainya, tidak akan berlaku,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.
Menurutnya, walaupun fenomena Sonamu itu tidak menyebabkan kejadian membahayakan orang ramai, namun aktiviti ke laut seperti menangkap ikan perlu dielakkan.
“MKN menasihatkan nelayan di Pantai Timur tidak menjalankan sebarang aktiviti di laut kerana dibimbangi membahayakan keselamatan selain fenomena itu dikhuatiri mengakibatkan banjir gelombang ketiga.
“Berdasarkan kajian, fenomena itu akan menyebabkan berlakunya hujan dalam kuantiti tinggi seterusnya boleh menyebabkan banjir besar. MKN sudah bersiap sedia dari segi pangkalan hadapan,” katanya.
Sumber