BERBISA...Rozaimi (dua dari kanan) memiliki sentuhan penyudah mantap. |
Mungkin ada yang mempersoalkan bagaimana pemain tempatan lebih mendapat pengiktirafan pihak luar sedangkan dia gagal mendapat tempat menyarung jersi Harimau Malaya.
Sebelum ini pemain kelahiran Sabah yang kini mewakili Harimau Muda A itu pernah dipanggil menjalani latihan bersama skuad kebangsaan dan beraksi sebagai pemain gantian dalam perlawanan persahabatan namun belum cukup memikat pengendali Datuk K Rajagobal.
Bekas pemain kebangsaan, Reduan Abdullah tidak mahu mempertikaikan pemilihan pengendali negara itu yang tidak menyerapkan Rozaimi dalam skuad Piala AFF 2012 sebaliknya mahu pemain itu membuktikan dia sememangnya berhak mendapat tempat dalam skuad Harimau Malaya selepas ini.
“Setiap jurulatih ada penilaian sendiri, mungkin sebelum ini aksinya dengan skuad kebangsaan kurang bagus. Tapi dia kena buktikan dirinya memang berhak mendapat pengiktirafan sebagai 10 pemain terbaik Asia oleh ESPN itu.
“Dia masih muda dan masih ada ruang untuk memperbaiki prestasinya. Ia satu pengiktirafan yang baik tapi dia tidak boleh leka sebaliknya menjadikan ia satu cabaran untuk melangkah ke peringkat lebih tinggi,” katanya kepada Arena Metro semalam.
Pemilihan Rozaimi, 20, dibuat berdasarkan prestasi hebatnya apabila meledak 10 gol dalam lima perlawanan kempen kelayakan Piala Asia Bawah 22 Tahun di Yangon, Myanmar, Jun lalu.
Sementara itu, jurulatih Harimau Muda A, Ong Kim Swee menganggap Rozaimi memiliki bakat semula jadi sebagai penyerang.
“Rozaimi memiliki sentuhan penyudah yang baik, tenang di depan gol dan memiliki naluri pemusnah seorang penyerang. Dia boleh menjadi pemain pelapis kepada skuad kebangsaan selepas ini,” katanya.
Arena Metro