Ok,kali ini admin nak berkongsi sedikit cerita akan misteri Segitiga Bermuda atau dikenali sebagai Bermuda Triangle. Kalau bab misteri admin paling suka baca,sebab apa? Sebab ianya misterilah haha. Jadi jika anda berminat akan cerita Bermuda Triangle ikuti cerita selanjutnya dibawah :)
KEGEMBIRAAN Christopher Columbus dan anak kapalnya menemui benua Amerika pada 1492 tiba-tiba saja bertukar menjadi mimpi ngeri.
Tanpa diduga, ketika meneruskan pelayaran, kumpulan ekspedisi berkenaan
tidak hanya menemui benua baru itu tetapi turut berhadapan dengan
fenomena mistik yang meremangkan bulu roma dan menyeramkan.
Di tengah
samudera luas, secara tiba-tiba jarum kompas di kapal Columbus bergerak
tanpa arah yang pasti. Kejadian aneh berkenaan semakin membingungkan
kerana ia berlaku ketika cuaca di luar kapal begitu baik.
Peristiwa mistik
tidak tamat di situ saja. Tidak lama selepas itu, ketika malam menjelma,
kalangan kelasi dikejutkan dengan kemunculan bebola api yang terjatuh
ke dalam laut tidak beberapa jauh daripada kapal berkenaan.
Mereka juga
melihat satu lintasan cahaya dari arah ufuk yang kemudian menghilang
begitu saja. Pengalaman aneh itu dicatatkan Columbus ketika menceritakan
mengenai ekspedisinya meninjau wilayah baru itu.
Dalam meneliti
kawasan Amerika yang baru dijumpai itu, pelayar terbabit mungkin sedikit
gerun selepas mendapati kawasan itu bukanlah bumi biasa, terdapat
sesuatu yang misteri mengenai wilayah itu.
Sememangnya
wilayah mistik yang dilalui Columbus itu terus kekal misteri sehingga
kini. Kawasan terletak antara Miami di Florida, Puerto Rico di Jamaica
dan Bermuda terus menyimpan rahsia yang tidak dapat dipecahkan selama
ratusan tahun.
Columbus dan ahli
ekspedisinya boleh dikatakan agak beruntung berbanding pihak lain yang
melalui kawasan yang kini dikenali ‘Segitiga Bermuda’ itu.
Ahli pelayaran
kurun ke-15 itu sekadar diperlihatkan kejadian aneh dan mistik tetapi
ratusan kapal dan pesawat yang melalui perairan itu selepas Columbus
terus ghaib tanpa dapat dikesan!
Peristiwa terbesar yang pernah terjadi di Segitiga Bermuda adalah lenyapnya kapal perang Inggeris iaitu Atlanta pada 1880.
Sebaik kapal besar itu melalui kawasan perairan berkenaan, ia terus lenyap bersama 300 kadet dan askar di dalamnya.
Rupanya Segitiga
Bermuda tidak hanya ‘menelan’ kapal laut yang melalui kawasan
perairannya tetapi juga di ruang udara yang terdapat dalam lingkungan
pertemuan tiga negeri berkenaan.
Selain kapal
laut, pesawat yang terbang di Segitiga Bermuda yang berkeluasan
kira-kira 1.2 juta kilometer persegi itu turut ghaib tanpa dapat
dikesan.
Peristiwa
terbesar membabitkan kehilangan pesawat terbongkar pada 1990 apabila
lima jet Grumman TBF Avenger AL AS yang tengah meronda melintas wilayah
laut itu terus ghaib daripada radar pusat kawalan udara pada 5 Disember
1945, ketika waktu masih siang.
Penyiasatan
mendapati komandan penerbangan sempat berhubung dengan pusat kawalan dan
melaporkan yang kumpulan mereka mengalami ‘gangguan’ sebelum semua
pesawat itu ghaib beberapa minit kemudian tanpa sempat memberi isyarat
SOS.
Kehilangan lima pesawat itu menyebabkan sebuah pesawat lain iaitu Martin
PBM-3 Mariner diterbangkan untuk operasi mencari tetapi pesawat itu
turut lenyap bersama 13 anggota di dalamnya. Operasi mencari turut gagal
menemui serpihan pesawat berkenaan.
Tahun demi tahun berlalu, sekitar 1990, seorang peneliti tampil bersama
penemuan menggemparkan apabila menjumpai kerangka pesawat di pantai Fort
Launderdale, Florida. Ujian mendapati kerangka itu milik TBF Avenger
yang hilang lebih 30 tahun sebelum itu.
Konflik lebih menarik berlaku dalam proses pencarian pesawat pengangkut
C-119 Flying Boxcar yang hilang pada 7 Jun 1965. Seperti kes lain,
pesawat itu terbang melalui Segitiga Bermuda dan terus gahib tanpa dapat
dikesan.
Operasi menyelamat dikerahkan tetapi tetap tidak menjumpai jejak serpihan ataupun mayat anggota dalam pesawat itu.
Kehilangan itu terus menjadi misteri sehinggalah pada 1973, seorang
pengkaji UFO mengemukakan teori yang menarik tumpuan ramai pihak
menerusi artikelnya yang diterbitkan Biro UFO Antarabangsa.
Dalam artikel itu dimuatkan kenyataan angkasawan Gemini IV, James
McDivitt dan Edward H. White II. Mereka menceritakan pada waktu
hilangnya pesawat C-119, dua angkasawan itu sedang mengamati wilayah
sekitar Kepulauan Hawaii.
Menurut catatan NASA, pada 3 hingga 7 Jun 1965, kedua-dua angkasawan itu
sedang melakukan eksperimen di luar kapsul Gemini dan McDivitt
menyatakan dia melihat sebuah UFO meluncur di udara berhampiran Hawaii.
Beberapa minit kemudian, White turut menyaksikan objek lain yang
berbentuk serupa.
Sejak itu, cerita mengenai UFO yang ‘menculik’ C-119 terus heboh
sehingga menarik perhatian ramai pihak. Bagaimanapun, pihak yang
skeptikal dengan kenyataan itu tetap menyangkal dengan tanggapan bahawa
kedua-dua angkasawan itu mungkin tersalah anggap.
Sehingga kini, kes membabitkan pesawat C-119 Flying Boxcar, TBF Avenger,
Martin PBM-3 Mariner, kapal laut Atlanta serta ratusan lagi kes
kehilangan kapal dan pesawat di kawasan itu terus kekal misteri dan
tidak dapat diselesaikan.
Bagaimanapun, terdapat persamaan dalam kebanyakan kes. Ghaib ketika
keadaan cuaca baik, kapal dan pesawat tidak memiliki masalah atau
kerosakan teknikal, perhubungan radio antara pesawat dan kapal dengan
pusat kawalan berjalan biasa sehinggalah ia terus terputus tanpa
disangka.
Banyak teori dikaitkan sebagai punca misteri Segitiga Bermuda. Ada yang
mengemukakan teori lingkungan waktu, medan graviti terbalik, anomali
magnetik-graviti, fenomena gempa laut, serangan gelombang besar termasuk
dikaitkan dengan lubang hitam di angkasa.
Teori lebih pelik adalah wilayah itu dikatakan markas UFO di Bumi ini,
pusat pemerintahan kota Atlantis yang tenggelam ribuan tahun lalu, kota
manusia duyung selain pusat persembunyian Dajal.
Walau pelbagai teori dikemukakan, tiada satu pun yang menyingkap rahsia sebenar mengenai misteri wilayah segitiga itu.
Selepas lebih 500 tahun daripada peristiwa mistik yang menghantui
Columbus, pelbagai kejadian aneh bagaikan tidak berkesudahan sekali gus
meletakkan Segitiga Bermuda sebagai antara wilayah paling misteri di
dunia ini......